APA ITU FOTO?

Sejak saya menjadikan fotografi sebagai satu kerjaya yang serius, saya seringkali diajukan dengan soalan apa itu foto. Secara mudahnya foto itu adalah lukisan cahaya. Ini kerana pada asasnya tanpa cahaya, maka foto tidak akan wujud. Misalnya, jika kita ingin melihat foto dari apa jua media tidak kira elektronik mahupun cetak, kita memerlukan cahaya yang cukup untuk menikmati keindahan dan objek yang dirakamkan. Oleh itu untuk menghasilkan foto yang baik, cahaya memainkan peranan yang cukup penting dan utama disamping eleman-eleman lain seperti fokus, komposisi, subjek, mood dan lain-lain.
Mari kita lakukan satu latihan praktikal. Cuba perhatikan foto yang tertera bersama artikal ini dan bayangkan jika cahaya lampu yang menyinari pokok-pokok itu dipadamkan. Apakah agaknya hasil fotografi yang bakal diperolehi? Sila jawab sendiri dengan melakukan latihan praktikal bersama kamera anda. Selepas itu anda akan memahami mengapa saya mengatakan foto itu adalah satu lukisan cahaya. Selamat mencuba.