PENGHARGAAN TERHADAP SEORANG GURU

Saya, Mohd Reza, yang sekarang menetap di Kampung Tunku Petaling Jaya. Pada hari sabtu yang lepas, saya menyertai satu kursus singkat berkenaan dengan prinsip-prinsip Asas Fotografi di bawah bimbingan Tuan Abas Hassan yang bertempat di dSLR Subang Parade, Selangor.

Pada mulanya saya fikir tidak banyak yang boleh saya pelajari berkenaan dengan asas-asas fotografi, sebuah subjek yang amat luas, di dalam masa sesingkat 2 jam tersebut. Apa lagi untuk memahami segala prinsip-prinsip asas fotografi dari sistem asas sebuah Kamera, ISO sehinggalah kepada aspek-aspek “Composition” dan kaedah-kaedah untuk menyampaikan mesej di dalam sebuah foto.

Oleh kerana saya pernah menjadi seorang pensyarah sambilan di sebuah universiti tempatan 7 tahun yang lepas, maka saya tahu benar akan kesulitan untuk memahamkan seseorang pelajar yang baru berjinak dengan sesuatu ilmu , apa lagi untuk memastikan pelajar tersebut dapat mengingati dan menguasai segala aspek teori, teknikal dan praktikalnya di dalam masa sesingkat DUA JAM.

Namun telahan saya benar-benar meleset, Tuan Abas Hassan, telah berjaya untuk menyampaikan segala asas-asas fotografi dari segi teori, teknikal dan praktikalnya dalam masa sesingkat dua jam dan saya benar-benar kagum dengan kebolehan beliau tersebut. Beliau malah telah berjaya berkongsi dengan kami akan pengalaman beliau dalam bidang fotografi dengan kritikan-kritikan yang membina, walaupun amat pedas untuk diterima. Namun seorang guru yang baik begitulah tingkahnya. Berani untuk berkata benar demi kebaikan anak muridnya.

Apa yang amat menarik berkenaan dengan kursus kendalian Tuan Abas ini adalah berkaitan FORMULA TIGA SEGI, "ESSENCE OF GOOD PHOTOGRAPH" yang diciptakan sendiri oleh beliau. Formula Tiga Segi ini amat- amat bermanfaat dan amat mudah untuk diaplikasikan bagi tujuan memahami gambaran besar atau “The Big Picture” ilmu fotografi beserta dengan komponen-komponen penting di dalamnya. Formula Tiga Segi ini amat-amat membantu saya dalam memahami segala aspek-aspek penting berkenaan dengan fotografi dan amat membantu saya untuk lebih memahami artikel-artikel yang berkaitan dengan fotografi yang saya sedang membacanya sekarang.

Formula Tiga Segi inilah yang membuatkan saya paling kagum dengan beliau. Sepanjang pengalaman saya, yang sekarang bertugas sebagai seorang penganalisis strategik di sebuah Pusat Kajian Strategik Dan Keselamatan di Kuala Lumpur, saya hanya pernah berjumpa dengan dua orang sahaja yang telah berjaya mengumpulkan satu ilmu yang amat luas seperti bidang fotografi di dalam satu formula yang amat ringkas dan senang difahami, beliau adalah Allahyarham Syed Hussien Alattas di dalam bidang Falsafah Islamnya dan kemudiannya Tuan Abas Hassan di dalam bidang Fotografinya.

Sebesar-besar tahniah kepada Tuan Abas Hassan di atas kejayaan beliau mencipta Formula Tiga Segi tersebut.

Saya menulis tulisan ini adalah untuk menyatakan penghargaan saya kepada seorang guru “baru” saya yang di dalam masa sesingkat 2 jam telah berjaya untuk memberikan segala ilmu yang bermanfaat kepada saya berkaitan dengan bidang fotografi dan telah tanpa ragu memenangi rasa hormat saya kepada beliau.

Akhirnya saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya kepada Tuan Abas Hassan yang telah dengan amat ikhlas menurunkan ilmu dan pengalaman beliau kepada saya serta sebesar-besar tahniah dan syabas saya ucapkan di atas kejayaan beliau menemui FORMULA TIGA SEGI yang amat ringkas dan bermanfaat untuk memahami ilmu fotografi yang terlalu amat luas itu. Saya merasakan amat bertuah menjadi murid kepada beliau.

Kata-kata berikut menggambarkan beliau:-

A good teacher is a master of simplification and an enemy of simplism. ~Louis A. Berman

Inilah Tuan Abas Hassan.